Perdana Menteri Palestin, Ismael Haniya menggelarkan rakyat Syria yang menuntut kebebasan
dan demokrasi sebagai "wira" sewaktu berucap di dalam Masjid Universiti
Al-Azhar, universiti tertua di Mesir itu. Kata Haniya: "Saya
mengucapkan salam kepada seluruh negara Arab bahkan Islam, saya ucapkan
salam kepada rakyat Syria, wira dan pahlawan yang sedang menuntut
kebebasan, demokrasi dan perubahan." Pemimpin Hamas itu berucap di
hadapan ribuan rakyat Mesir selepas menunaikan solat Jumaat di Masjid
Universiti Al-Azhar di Kaherah semalam.
Perlu disebut, ini
adalah pertama kali Hamas menyatakan pendirian secara terbuka kepada
revolusi Syria yang sekaligus menyaksikan penentangan terhadap
pemerintahan Syria kerana selama ini, dunia menyaksikan pemerintah Iran
dan Syria adalah sekutu kepada Hamas.
Haniya turut memuji
peranan yang dimainkan oleh Mesir selepas revolusi sambil menyifatkan
rakyat Mesir sebagai "rakyat pertolongan dan pencipta sejarah ke atas
tanah Palestin". Beliau merujuk kepada pencapaian negara Al-Azhar itu
selepas tumbangnya rejim Mubarak yang berjaya dalam dua siri pertukaran
tahanan Palestin yang menyaksikan lebih 1,000 tahanan Palestin
dibebaskan dalam penjara Israel dengan seorang askar Israel yang
diculik, Glad Shalit tahun lalu.
Haniya turut mengimbau
detik-detik kemenangan Hamas pada pilihanraya 2006 lalu apabila rakyat
Gaza memilih Hamas dalam pilihanraya negara itu tetapi Israel telah
mengenakan pelbagai tekanan.Antaranya membekukan aset dan harta Hamas
bahkan mengepung dan memerangi rakyat di Gaza.
Kata Haniya:
"Mereka melakukan semua itu hanya dengan satu tujuan, untuk kami
mengiktiraf Israel. Kami telah tegaskan beberapa kali dari seluruh
dataran dan medan di Gaza dan di luar Gaza dan pada hari ini, di
tengah-tengah himpunan ini, dari bumi Mesir, dari atas mimbar Al-Azhar
yang mulia ini, sekali lagi kami ingin tegaskan kami sama sekali tidak
akan mengiktiraf Israel, tidak akan mengiktiraf Israel dan tidak akan
mengiktiraf Israel!!," sambil diringi laungan takbir oleh ribuan rakyat
Mesir yang hadir.
No comments:
Post a Comment