~BASAHKAN LIDAHMU~

Monday, October 29, 2012

Carilah Dunia Yang Halal

Carilah Dunia Yang Halal

Imam al-Ghazali berpendapat bahawa zuhud berlaku pada yang halal dan yang haram. Berzuhud pada yang haram adalah wajib, manakala pada yang halal pula hukum sunat sahaja. Bagi orang yang benar-benar berzuhud ketaatan kepada Allah, dunia lebih jijik daripada bangkai yang kotor. Mereka tidak sanggup mengambilnya, apatah lagi gemar kepadanya, malah jauh sekali untuk mencintainya, melainkan ketika darurat.

Zuhud pada yang halal pula di sisi para wali juga menyamai zuhud yang pada yang haram. Dunia tidak lebih daripada bangkai. Mereka tidak mengambilnya melainkan sekadar keperluan sahaja. Maka perkara yang diharamkan dirasakan umpama api. Tidak terlintas sedikitpun di hatinya untuk mengambilnya sama ada ketika darurat atau tidak darurat.
Sayidina Ali bin Abi Talib Kwjh ada meriwayatkan bahawa nabi saw bersabda:

Apabila Allah tidak memberkati harta seseorang manusia itu, ia dapat dilihat bagaimana harta itu dihabiskan seumpama menakung air di tanah. Ia tidak meninggalkan apa-apa kesan sekalipun.

Inilah yang dimaksudkan dengan kedinginan terhadap dunia. Ia akan memutuskan seseorang untuk cinta kepada dunia serta merasa jijik dengan dunia. Maka akan hilang dan tidak tertinggal sedikitpun di dalam hati dan perasaannya untuk berusaha mendapatkan habuan dunia yang jijik. Semua ini tidak mustahil akan berlaku jika kita berusaha menolak kehendak dunia. Sesiapa yang dikurniakan Allah dengan taufiq yang khas/ khusus dan merasa yakin dengan kebinasaan dunia dan isinya, mudah sahaja bagi dirinya menolak kelazatan dan nikmat dunia. Golongan ini diberikan anugerah oleh Allah melihat apa yang tidak terjangkau dilihat oleh manusia biasa dengan mata hati dan ilmu. Perkara yang haram itu seumpama racun yang boleh membunuh. Mereka hairan melihat orang yang mencintai dunia, apatah lagi melakukan perkara yang diharamkan oleh Allah.
Justeru itu, Hasan al-Basri pernah ditanya:
[1]

Wahai Abu Said, siapakah manusia yang paling keras teriakannya pada hari Kiamat? Beliau menjawab: ” Orang yang dikurniakan nikmat, tetapi digunakan untuk melakukan maksiat kepada Allah SWT.

Zuhud dunia tidak bermakna kita menolak sepenuhnya dunia yang kita miliki. Zuhud dunia bermakna tidak mengutamakan dunia daripada akhirat atau tidak berlebihan pada mengejar dunia. Dunia yang diperlukan hanya untuk beribadat kepada Allah SWT, dan bukanlah untuk berseronokan atau bermewah-mewahan. Sesungguhnya seringan-ringan hukuman Allah terhadap orang alim yang condong kepada keduniaan, maka Allah akan mencabut daripadanya kelazatan bermunajat kepada Allah.

[2]
Saad bin Abi Waqqash r.a. berkata: ” saya mendengar Rasulullah saw bersabda bahawa setiap hari dua malaikat yang menyeru dan dapat didengar oleh semua makhluk kecuali manusia dan jin. Wahai manusia kembalilah kepada Tuhan, sesungguhnya yang sedikit tetapi mencukupi itu lebih baik daripada yang banyak tetapi menyesatkan”.

[3]
Sebagai kesimpulannya, jika kita berkeinginan untuk tidak menuntut kepada dunia dan bercita-cita untuk berzuhud, tetapi diri kita tidak mampu dan masih berkeinginan kepada dunia, maka kita niatkanlah untuk beribadah kepada Allah, bukanlah untuk memuaskan hawa nafsu syahwat. Maka jika ini yang kita lakukan, maka tuntutan dan keinginan kita ini adalah suatu kebaikan dan menjadi bekalan akhirat.
— with Mus'ab Mus.

No comments: