~BASAHKAN LIDAHMU~

Saturday, February 25, 2012

ALLAH SELAMATKANLAH SYIRIA

Perdana Menteri Palestin, Ismael Haniya menggelarkan rakyat Syria yang menuntut kebebasan dan demokrasi sebagai "wira" sewaktu berucap di dalam Masjid Universiti Al-Azhar, universiti tertua di Mesir itu. Kata Haniya: "Saya mengucapkan salam kepada seluruh negara Arab bahkan Islam, saya ucapkan salam kepada rakyat Syria, wira dan pahlawan yang sedang menuntut kebebasan, demokrasi dan perubahan." Pemimpin Hamas itu berucap di hadapan ribuan rakyat Mesir selepas menunaikan solat Jumaat di Masjid Universiti Al-Azhar di Kaherah semalam.

Perlu disebut, ini adalah pertama kali Hamas menyatakan pendirian secara terbuka kepada revolusi Syria yang sekaligus menyaksikan penentangan terhadap pemerintahan Syria kerana selama ini, dunia menyaksikan pemerintah Iran dan Syria adalah sekutu kepada Hamas.

Haniya turut memuji peranan yang dimainkan oleh Mesir selepas revolusi sambil menyifatkan rakyat Mesir sebagai "rakyat pertolongan dan pencipta sejarah ke atas tanah Palestin". Beliau merujuk kepada pencapaian negara Al-Azhar itu selepas tumbangnya rejim Mubarak yang berjaya dalam dua siri pertukaran tahanan Palestin yang menyaksikan lebih 1,000 tahanan Palestin dibebaskan dalam penjara Israel dengan seorang askar Israel yang diculik, Glad Shalit tahun lalu.

Haniya turut mengimbau detik-detik kemenangan Hamas pada pilihanraya 2006 lalu apabila rakyat Gaza memilih Hamas dalam pilihanraya negara itu tetapi Israel telah mengenakan pelbagai tekanan.Antaranya membekukan aset dan harta Hamas bahkan mengepung dan memerangi rakyat di Gaza.

Kata Haniya: "Mereka melakukan semua itu hanya dengan satu tujuan, untuk kami mengiktiraf Israel. Kami telah tegaskan beberapa kali dari seluruh dataran dan medan di Gaza dan di luar Gaza dan pada hari ini, di tengah-tengah himpunan ini, dari bumi Mesir, dari atas mimbar Al-Azhar yang mulia ini, sekali lagi kami ingin tegaskan kami sama sekali tidak akan mengiktiraf Israel, tidak akan mengiktiraf Israel dan tidak akan mengiktiraf Israel!!," sambil diringi laungan takbir oleh ribuan rakyat Mesir yang hadir.

No comments: